Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengambil inisiatif menjemput agensi-agensi yang berkenaan bagi membincangkan isu kesesakan di dalam penjara. Sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara telah dihadiri oleh Bahagian Pendakwaan AGC; Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diwakili oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Bahagian Kepenjaraan, Dadah dan RELA; Jabatan Penjara Malaysia yang diwakili oleh Penasihat Undang-Undang, Lembaga Parol, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara dan Bahagian Dasar Kepenjaraan; serta wakil Polis Di Raja Malaysia. Perbincangan ini merupakan satu manifestasi komitmen AGC serta agensi-agensi yang terlibat dalam mencari penyelesaian yang praktikal dan efisyen dalam menangani isu kesesakan dalam penjara.