Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara telah menganjurkan Kursus Mengenai Pentadbiran dan Tata Kelola Badan Berkanun di Malaysia pada 20 dan 21 Mei 2025 bertempat di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside, Putrajaya. Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Suzana binti Atan, Peguam Cara Negara. Peserta kursus ini terdiri daripada pegawai daripada pelbagai Kementerian/ Jabatan/ Agensi dan juga pegawai daripada badan berkanun. Objektif kursus ini, antara lain, adalah bagi mendedahkan peserta kepada sifat dan penubuhan suatu Badan Berkanun Persekutuan/ Negeri dan menyediakan peserta dengan pengetahuan berhubung tindakan disiplin yang terpakai bagi Badan Berkanun Persekutuan/ Negeri. Melalui sesi forum yang diadakan, Kursus ini telah menjadi platform kepada peserta untuk berbincang dan mengenal pasti isu dan cabaran yang dihadapi oleh Badan Berkanun Persekutuan/ Negeri serta turut membincangkan cara bagi mengatasinya. Penceramah yang dijemput terdiri daripada pegawai Kerajaan dan pegawai daripada badan berkanun yang mempunyai kepakaran dan berpengalaman luas dalam hal berkaitan badan berkanun.