Bahagian Pengurusan (BPEN) telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan Jabatan Peguam Negara Tahun 2025 selama 3 hari bermula 21 hingga 23 Julai 2025 bertempat di Bilik Jamuan 1, Aras 11 AGC. Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Haslinda binti Abdul Razak, Timbalan Pengarah BPEN. Tujuan bengkel ini dilaksanakan adalah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada Pejabat Ketua Pengawal Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi Pembangunan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (PKP) AGC yang lengkap mengikut prosedur dan arahan yang ditetapkan. Bengkel ini telah dihadiri oleh wakil-wakil daripada setiap Bahagian bagi mengganggotai Pasukan Koordinator PKP AGC. Sepanjang bengkel berlangsung, semua peserta telah mengambil peluang untuk memberikan sumbangan idea, berkongsi pandangan serta bekerjasama secara aktif untuk membangunkan PKP AGC. Bengkel ini menampilkan penceramah jemputan daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) iaitu Encik Mohd Azhar bin Yusof, Ketua Program Asas dan Kemahiran Pegawai dan Puan Fauezah binti Mohd Zahaimi, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Keselamatan Perlindungan Maklumat ICT. Kehadiran pihak CGSO amat bermakna memandangkan kepakaran mereka dalam aspek keselamatan maklumat dan pengurusan risiko amat relevan dalam pembangunan pelan kesinambungan perkhidmatan. Majlis penutup dan penyerahan cenderamata telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Azizi bin Wahab, Pengarah BPEN AGC. Semoga bengkel ini dapat mencapai matlamatnya iaitu dapat memahami dan membangunkan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (PKP) Jabatan Peguam Negara dengan baik. Terima kasih dan syabas diucapkan kepada peserta yang terlibat atas komitmen dan semangat yang diberikan.