Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, telah mempengerusikan satu sesi perbincangan bersama pasukan penyelidik berkenaan penyediaan laporan akhir kajian empirikal ke Kanada, Australia dan United Kingdom bagi cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia. Dalam sesi tersebut, YBrs. Prof. Madya Dr. Ramalinggam a/l Rajamanickam, Pensyarah Universiti di Pusat Kajian Undang-Undang Malaysia & Perbandingan, Universiti Kebangsaan Malaysia, telah membuat pembentangan kepada para hadirin. Sesi ini turut dihadiri oleh Peguam Cara Negara, YBhg. Dato’ Suzana binti Atan, Peguam Cara Negara II, YBhg. Dato’ Umar Saifuddin bin Jaafar, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, YBhg. Datuk Zamri bin Misman serta semua Ketua-Ketua Bahagian di Jabatan Peguam Negara.