Lebih 200 pelajar Jurusan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) hadir pada hari ini bagi memeriahkan Program Green Harvest@AGC UUM 2025. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dibawah kelolaan Unit Komunikasi Strategik dengan kerjasama Pusat Pengajian Undang Undang, UUM.
Melalui sesi pertama program ini, para pelajar diberikan input dan penerangan mengenai peranan dan fungsi AGC, seterusnya laluan kerjaya yang boleh diceburi dalam AGC. Pengisian sesi ini disampaikan oleh Peguam Kanan Persekutuan berpegalaman, YBrs. Tuan Firdaus Zariza bin Abdul Aziz.
Pada sesi seterusnya pula, YBhg. Dato' Khairul Anuar bin Abdul Halim, Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah hadir untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang menabur bakti dalam bidang perundangan negara. Para pelajar dibawa menelusuri pengalaman dan cabaran sebenar ketika berada di lapangan.
Program turut dimeriahkan dengan pameran dan kuiz kenegaraan serta rakaman video perutusan khas Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar. Dalam perutusan tersebut, YBhg. Tan Sri Peguam Negara memberikan amanat dan harapan beliau terhadap para pelajar yang merupakan aset dan pelapis kepada bidang perundangan negara. Beliau menekankan kepentingan integriti dalam membina keadilan yang berkesan dalam mendepani cabaran perundangan yang kian kompleks.
Kerjasama antara Jabatan Peguam Negara dan Universiti Utara Malaysia menjadi jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan amalan guaman sebenar, membawa pelajar menyeberangi jurang antara teori dan realiti. Objektif ini sememangnya menjadi keutamaan dalam pelaksanaan Program Green Harvest@AGC 2025.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Harlida binti Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor COLGIS, merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, UUM. Turut hadir, barisan pengurusan tertinggi dan tenaga pengajar Pusat Pengajian Undang Undang UUM, serta barisan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah.