Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar hari ini telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Program Santuni MADANI yang berorientasikan semangat “Satu Pemimpin, Satu Kampung” bertujuan memperkaya sikap cakna pemimpin dalam menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung kelahiran, tempat membesar masing-masing atau kampung yang dipilih, selain mengenal pasti isu-isu yang dihadapi serta usaha meningkatkan potensi masyarakat setempat melalui sesi libat urus.
Menerusi program ini, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar telah memilih Sekolah Pulai Chondong, Machang, Kelantan yang merupakan sekolah tempat beliau menerima pendidikan awal sebagai lokasi pelaksanaan Program Santuni Madani Jabatan Peguam Negara. Program kali ini memberi tumpuan kepada kepentingan pendidikan tinggi dalam kalangan anak-anak muda di kawasan ini, disamping menekankan kepedulian terhadap isu-isu sosial yang membelenggu komuniti, terutamanya yang melibatkan golongan remaja.
Program ini berjaya menghimpunkan kira-kira 2,000 orang peserta, merangkumi pegawai Jabatan Pendidikan Negeri, Pegawai Pendidikan Daerah Machang, pelajar Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong, pelajar sekolah menengah sekitar Daerah Machang, pegawai serta kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang, serta masyarakat setempat. Dalam program ini, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai berjumlah RM3,000.00 kepada pihak sekolah, selain mengagihkan kain batik, kain pelekat, dan botol minuman kepada lebih 1,000 penerima yang terdiri daripada penduduk kampung dan para pelajar. Sebagai tambahan, sebuah televisyen pintar (Smart TV) bersaiz 65 inci turut disumbangkan kepada Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong bagi tujuan pembelajaran dan kegunaan bilik darjah.
Pelbagai pengisian menarik telah dilaksanakan sepanjang Program Santuni MADANI, antaranya sesi libat urus bersama YBhg. Tan Sri Peguam Negara melibatkan para pelajar Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong, pelajar sekolah menengah di Daerah Machang serta para alumni sekolah tersebut. Selain itu, beberapa program dan taklimat berasaskan pendidikan dan kerjaya turut diadakan, antaranya Career Talk oleh UiTM Machang, Politeknik Jeli dan Kolej Komuniti, yang memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peluang pendidikan tinggi dan hala tuju kerjaya. Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan silat oleh kumpulan pesilat tempatan serta persembahan dikir barat yang mencerminkan warisan budaya setempat.
Di samping itu, Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah menawarkan khidmat pemeriksaan percuma bagi motosikal yang telah tamat tempoh cukai jalan selama tiga tahun atau lebih. JPJ juga menyediakan van perkhidmatan bergerak bagi kemudahan orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu, membayar saman dan menguruskan urusan berkaitan lain. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan lesen memandu, Program MyLesen B2 turut diadakan dengan pembukaan reruai khas yang menempatkan tiga institut memandu, menawarkan potongan harga sehingga 50%. Tidak ketinggalan, Hospital Machang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Machang turut menyumbang dari aspek kesiapsiagaan kesihatan dengan menyediakan dua buah ambulans di lokasi masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan sepanjang program berlangsung. Reruai pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan tempatan turut disediakan bagi memberi peluang kepada peserta dan masyarakat setempat untuk mendapatkan pendedahan berkenaan fungsi, peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkenaan. Antara jabatan dan agensi yang terlibat termasuklah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Jabatan Bantuan Guaman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik Jeli, Kolej Komuniti Jeli, Jabatan Perikanan Kelantan dan Jabatan Penerangan Kelantan.