Peguam Negara Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mohktar, telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Long Gafar, Kota Bharu, Kelantan.
Melalui saluran peruntukan sebanyak RM100,000.00, sekolah ini dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, demi menyokong kecemerlangan guru dan murid. Antara projek fizikal yang dilaksanakan adalah:
1. 26 unit Smart TV 43 inci yang akan ditempatkan di kelas;
2. 4 unit Smart TV 65 inci yang akan ditempatkan di 4 buah bilik khas;
3. 4 unit tablet untuk kegunaan Guru Besar & Guru Penolong Kanan; dan
4. Menaiktaraf gelanggang kriket Sekolah Kebangsaan Long Gafar
Dalam usaha memperkukuh nilai Ihsan MADANI, YBhg. Tan Sri Peguam Negara turut mengambil inisiatif dengan menyumbangkan sejumlah 120 naskah buku-buku terpilih untuk ditempatkan di perpustakaan Sekolah Kebangsaan Long Gafar, sumbangan tunai kepada 30 murid terpilih serta sumbangan ais krim kepada semua murid sekolah tersebut.
YBhg. Tan Sri Peguam Negara dalam ucapan peluncurannya menyatakan “Program Sekolah Angkat MADANI mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran pendidikan luar bandar. Inisiatif ini memperkukuh usaha kerajaan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati secara menyeluruh. Oleh yang demikian, AGC sangat berbesar hati menjadi salah satu pemain dalam melaksanakan projek SAM ini”. Dalam majlis tersebut , beliau turut menyampaikan simbolik penyerahan alat bantu mengajar dan peralatan permainan kriket kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Long Gafar, YBrs. Encik Haris Irman Bin Sharifuddin.
Turut hadir YBhg. Dato’ Masri bin Mohd Daud, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Ketua-Ketua Bahagian Jabatan Peguam Negara, YBrs. Tuan Hj Mohd Suki Bin Harun, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, YBrs. Tuan Nik Sazila bin Nik Abdullah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Para Pendidik Sekolah Kebangsaan Long Gafar, Pegawai-Pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Daerah Kota Bharu.