Bagai sirih pulang ke gagang, itulah peribahasa yang dapat menggambarkan suasana pelaksanaan Program Green Harvest@AGC di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini. YBrs. Puan Zureen Elina binti Hj Mohd Dom, Ketua Unit Timbang Tara dan ADR, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara, telah memberikan ceramah berkenaan pengalaman kerjaya beliau dihadapan lebih 100 orang mahasiswa tahun akhir Fakulti Undang Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau yang hadir sebagai Alumni Fakulti Undang Undang UKM, sempat mengimbau kembali memori suka duka ketika menuntut di sini sebelum berkongsi pengalaman beliau sepanjang 22 tahun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara pada sesi interaktif kedua, perkongsian pegawai undang-undang AGC. Sebelum itu, program ini dimulakan dengan Sesi Pengenalan dan Taklimat Haluan Kerjaya yang disampaikan oleh YBrs. Tuan Firdaus Zariza bin Abd Aziz, Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara. Sesi ini membuka perspektif para mahasiswa mengenai peranan sebenar Jabatan Peguam Negara, potensi besar dalam sektor perundangan di AGC sebagai platform latihan, peluang menimba pengalaman, dan medan pembelajaran yang kompetitif serta berdaya saing. Tuan Firdaus juga turut berkongsi laluan dan potensi kerjaya yang boleh diceburi oleh para pelajar sekiranya berminat untuk berkhidmat di AGC kelak. Sesi ini juga turut dimeriahkan dengan permainan kuiz kahoot yang menguji tahap pemahaman terhadap peranan AGC dan pengetahuan am kenegaraan. AGC yakin bahawa inisiatif Green Harvest ini mampu menjadi platform kerjaya yang kukuh buat para mahasiswa, seterusnya melahirkan pelapis berkualiti untuk masa hadapan khususnya AGC itu sendiri. Kedua sesi interaktif ini begitu rancak apabila penceramah menerima pelbagai soalan dari para pelajar berkenaan kerjaya, potensi serta keperluan untuk dipilih berkhidmat di AGC. Kehadiran dan penglibatan yang aktif daripada pelajar-pelajar tahun akhir FUU UKM ini mencerminkan minat dan kecenderungan mereka untuk mementukan pemilihan laluan kerjaya yang sesuai kelak. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dr. Nurhafilah Musa, Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Undang Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mewakili Dekan Fakulti. Beliau dalam ucapannya menyatakan kesudian FUU UKM untuk sentiasa bekerjasama bersama pihak AGC dalam memastikan program program seperti ini dilaksanakan, seterusnya membuka peluang kepada para pelajar untuk memilih dan berkhidmat kepada negara tercinta. Turut hadir, YBrs. Dr. Hanifah Haydar Ali Tajudin, Penyelaras Program Tahun 4, serta YBrs. Puan Haniezaida Hassan, Ketua Unit Komunikasi Strategik, Pejabat Peguam Negara.