Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui inisiatif dan agenda nasional Kerajaan MADANI telah melancarkan Program Kampung Angkat MADANI AGC 2025 di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan. Kampung ini merupakan kampung angkat kedua AGC, selepas kejayaan Kampung Angkat MADANI AGC di Kampung Jilid 8 dan Rangkaian, Mukim Bujang, Sungai Petani, Kedah tahun lepas, 2024. Majlis peluncuran yang berlangsung di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak ini telah dirasmikan oleh Peguam Negara Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar dengan kehadiran penduduk setempat dan Kawasan sekitarnya. Sebelumnya, YBhg. Tan Sri Peguam Negara telah membuat tinjauan ke Pasar Warisan bagi melihat sendiri kejayaan projek menaik taraf struktur pasar dengan reka bentuk yang lebih kukuh dan mengekalkan ciri-ciri asal untuk memelihara warisan dan identiti tempatan, di samping turut menyediakan kemudahan bekalan elektrik dan air bersih untuk kegunaan para peniaga tempatan. Projek ini berpotensi menjadikan pasar dengan kemudahan yang disediakan sebagai pusat jualan hasil laut dan produk tempatan yang lebih sistematik, bersih, dan menarik untuk penduduk serta pelancong. Peguam Negara turut merakamkan setinggi penghargaan kepada YBM Tengku Kaya Perkasa Dato Dr Tengku Mohamed Faziharudean bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Hj. Ab Pattah bin Hasbullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (TSUK) (Pengurusan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Pembangunan Persekutuan ( ICU) Kelantan, YABrs. Tuan Haji Rusydee bin Abdullah, Ketua Jajahan Kota Bharu, Pihak Pejabat Daerah dan Tanah Jajahan Kota Bharu, Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, dan semua yang telah bertungkus- lumus, turun padang dalam menjayakan projek pembangunan KAM AGC 2025 ini.