Satu Mesyuarat Penyelarasan Program Angkat MADANI di Kampung Padang Tembak, Panchor, Pengkalan Chepa telah diadakan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan tersusun. Mesyuarat ini di pengerusikan oleh YABrs. Tuan Haji Rusydee bin Abdullah, Ketua Jajahan Kota Bharu dan turut disertai oleh beberapa wakil Pejabat Tanah & Jajahan Kota Bharu, wakil dari Jabatan Peguam Negara dan wakil dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan.
Fokus utama mesyuarat adalah menyemak semula skop kerja agar selaras dengan keperluan semasa komuniti, termasuk pembangunan infrastruktur dan kapasiti penduduk. Perbincangan turut melibatkan penyaluran geran kewangan secara teratur dan cekap dengan penetapan garis masa pelaksanaan. Selain itu, mesyuarat menegaskan keutamaan pelantikan kontraktor tempatan berstatus Bumiputera bagi menyokong ekonomi setempat. Kaedah tatacara pengurusan perolehan juga ditekankan supaya ianya dapat dilaksanakan mengikut prosedur sedia ada dengan penekanan terhadap ketelusan.
Jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan dan dicadangkan untuk memantau setiap fasa pelaksanaan projek. Laporan kemajuan bulanan akan disediakan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu setiap awal bulan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan.