Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan PPUUNJ menganjurkan Majlis Perpisahan sempena Pertukaran Pegawai Undang-Undang. Kesemua Pegawai berkenaan adalah dari Unit Pendakwaan Johor Bahru yang terdiri dari Puan Chan Lee Lee yang akan berpindah ke Pejabat SPRM, Puan Kodesviari a/p Ramanaidu ke Jabatan Insolvensi dan Puan Nor Maisarah binti Hassan ke Jabatan Imigresen. YB Datuk Abd Aziz bin Engan selaku Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Penaung Kelab dalam ucapannya telah berpesan agar kesemua pegawai membawa imej yang baik selaku pegawai undang-undang ke tempat yang baharu. YBhg. Tuan Abdul Ghafar bin Ab. Latif, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama dan jasa yang diberikan oleh pegawai sepanjang perkhidmatan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. Majlis yang berlangsung dengan penuh kemesraan ini turut diraikan dengan penyampaian sumbangan kepada pegawai yang akan bertukar, baru melangsungkan perkahwinan, menimang cahaya mata dan yang kehilangan ahli keluarga tersayang. Sebelum berpisah kesemua pegawai dan kakitangan menikmati jamuan yang ditaja oleh hasil sumbangan ahli Kelab. Berikut adalah salah satu pantun oleh Puan Kodesviari yang menarik untuk dikongsikan; Tertumpah bakso bajuku basah, Ingin marah tapi pada siapa, Walau hati tak ingin berpisah; Apalah daya sudah waktunya.