Mesyuarat berkala antara Pejabat Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Sarawak dan agensi-agensi penguatkuasaan negeri telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Aras 8, Jabatan Peguam Negara, Negeri Sarawak, Bangunan Sultan Iskandar. Mesyuarat ini menghimpunkan tujuh agensi iaitu Jabatan Peguam Negara, Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, JKN Sarawak dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak. Perbincangan yang dijalankan secara konstruktif telah menyentuh pelbagai isu berbangkit dan mengenal pasti cabaran yang dialami dalam penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di mahkamah. Komitmen semua agensi dalam mesyuarat ini mencerminkan usaha berterusan ke arah kolaborasi rentas agensi yang lebih mantap, efisien dan bersepadu. Sinergi ini diharapkan dapat memperkukuh sistem keadilan jenayah dan penyampaian perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat Negeri Sarawak.