Attorney General's Chambers

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
  • red color
  • default color
  • green color
  • lilac color
  • turquoise color
English
AGC Portal

Isu-Isu Alam Sekitar

Email Print

Ramai orang kini sedar tentang kemerosotan alam sekitar. Bagi tempat-tempat tertentu kemerosotan alam sekitar telah mencapai krisis dan boleh dianggap sebagai bencana. Sebagai contohnya, kebocoran loji nuclear di Chernoby, Ukraine ( dulunya dalam kesatuan Soviet ) telah merosakkan alam sekitarnya tanpa dapat diperbaiki dan masih menjadi ancaman kepada penduduk sekitar dan alam sekeliling. Media massa sering membawa berita tentang aspek kemerosotan alam sekitar alam sekitar, dan tidak kurang juga orang perseorangan menyuarakan tentang keadaan alam sekitar itu dalam media tersebut. Antara perkara yang diberi perhatian termasuklah keadaan pencemaran di Bandar-bandar besar, kesesakan lalu lintas di Bandar, banjir kilat, pencemaran air, pencemaran udara, bunyi dan tanah tanih.Selain itu, penebangan hutan tak terkawal dan kepupusan pelbagai spesis flora dan fauna juga turut diberi perhatian.

 

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Namun pembangunan yang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Akibatnya bukan hanya generasi ini sahaja yang akan mengalami masalah tetapi generasi masa depan akan menwarisi masalah yang diwujudkan pada masa ini. Oleh itu, timbullah pelbagai isu dan masalah berkenaan kualiti alam sekitar yang semakin merosot dan diburukkan lagi dengan pelbagai kelemahan dan kekangan dalam menangani isu dan masalah tersebut.

Pelbagai usaha untuk menangani isu-isu alam sekitar telah dilakukan sama ada oleh kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sendiri melalui cara perundangan dan bukan perundangan namun hasilnya tetap tidak memuaskan. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai kelemahan dan kekangan dalam melaksanakan langkah-langkah tersebut. Adalah diharapkan tugasan yang dijalankan ini dapat mengenal pasti kekangan dan masalah tersebut dan seterusnya mencadangkan cara penyelesaian yang lebih baik dan berkesan untuk isu-isu tersebut.

MASALAH KETEGASAN DAN PELAKSANAAN

Keberkesanan kaedah kawalan alam sekitar bergantung pada setakat mana kawalan-kawalan itu mencukupi dan memandai. Apakah kawalan-kawalan itu merangkumi segala aspek permasalahan alam sekitar, termasuk segala bentuk bentuk pencemaran dan keutuhan sumber alam. Pengawalan bukan semata-mata terhadap masalah yang telah serius tetapi juga turut merangkumi segala bentuk pencemaran walaupun masih dalam peringkat yang tidak membimbangkan dan juga segala kemungkinan kemusnahan terhadap alam sekitar yang akan berlaku juga perlu diambil kira. Di Malaysia, peruntukkan undang-undang adalah merangkumi hampir segala aspek tentang alam sekitar namun adalah menjadi satu trend bagi pihak berkuasa untuk menumpukan kawalan ke atas masalah-masalah alam sekitar yang telah serius dan mendapat perhatian dan meminggirkan masalah-masalah yang biasa. Namun pihak berkuasa tidak boleh dipersalahkan kerana untuk melakukan kawalan yang menyeluruh memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, pihak swasta dan masyarakat secara amnya perlu mengeluarkan sedikit wang dan tenaga untuk membantu pihak berkuasa menjalankan kawalan menyeluruh ke atas alam sekitar dan tidak mengharapkan pihak kerajaan semata-mata..

Masalah seterusnya ialah dari segi ketegasan langkah-langkah kawalan yang telah diambil. Apakah peraturan-peraturan yang dibuat dalam bentuk penetapan tingkat piawaian misalnya, sudah cukup tegas dan sesuai dengan tingkat yang boleh menjamin kesihatan, atau apakah tingkat tersebut sudah cukup tinggi sesuai dengan tingkat penetapan yang telah dibuat oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau Amerika Syarikat. Begitu juga apakah cukai pencemaran atau denda yang dikenakan itu sudah cukup tinggi sehingga ia boleh dijadikan daya penggerak utama bagi menggelakkan pencemaran. Soalan seterusnya ialah dari segi pelaksanaannya. Apakah semua program dan penetapan yang telah dibuat itu dapat dijalankan sepenuhnya?

Masalah ini akan diulas lebih lanjut dalam kelemahan penguatkuasaan tetapi dari segi umumnya tingkat piawaian pengurusan alam sekitar di negara ini ada yang telah mencapai standard antarabangsa dan ada yang belum. Sebagai contoh, sistem pembekalan air di Malayisa telah memenuhi piawaian WHO ( sumber: Majalah MASSA ) namun pengurusan alam sekitar di Malaysia masih dikritik masyarakat antarabangsa kerana lebih mengutamakan pembangunan. Tentang denda dan undang-undang yang ada, secara keseluruhan ia masih belum mampu membendung pencemaran di tahap yang dikehendali dan bukan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan kerana pelbagai masalah dan kekangan. Contohnya program kitar semula yang bermula awal tahun 2000 semakin terpinggir kerana tiada sambutan daripada masyarakat selain daripada kesukaran mewujudkan pusat kitar semula di setiap daerah dan kawasan.

KEKANGAN POLITIK DAN EKONOMI

Masalah alam sekitar berkait rapat dengan masalah ekonomi dan seterusnya kekukuhan politik pemerintah pemerintah. Keutamaan yang diberikan terhadap penjagaan alam sekitar bermakna sedikit sebanyak akan menyekat dan menjejaskan prestasi ekonomi. Ketidakstabilan ekonomi negara akan menyebabkan kemerosotan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah. Kerajaan pusat dan negeri memerlukan sumber kewangan yang besar bagi projek-projek pembangunan. Oleh itu, projek-projek pembangunan lebih diutamakan daripada kepentingan alam sekitar. Beberapa contoh dapat dilihat. Pembinaan lebuh raya Karak-Kuala Lumpur telah menyebabkan pencemaran Sungai Gombak dan perlahan-lahan menjadikannya sebagai kawasan paya yang tidak berguna . Pembinaan jalan raya Relau-Balik Pulau telah merosakkan tanaman di enam buah kampong di daerah Relau dan Balik Pulau.

Selain itu, keanggotaan dalam Majlis Kualiti Alam Sekitar ( sebarang peraturan alam sekitar yang akan dibuat dirujukkan kepadanya) juga gagal untuk mencerminkan penyertaan rakyat. Daripada sembilan perwakilan yang terdapat di dalamnya tiada satupun daripada rakyat awam atau daripada mana-mana badan bukan berkepentingan kerajaan. Cuma seorang sahaja yang dilantik daripada kalangan kakitangan akademik universiti. Perwakilan yang seperti itu sudah tentu akan lebih memberatkan kepada priority pembangunan ekonomi. Oleh itu, segala candangan dan nasihat daripada perwakilan majlis ini kepada Menteri berkenaan juga tidak mungkin berada dalam tingkat mendesak khususnya daripada keperluan piawaian yang tegas. Oleh itu, adalah penting agar keanggotaan dalam Majlis ini dinilai semula atau mempunyai beberapa pemerhati daripada golongan orang awam agar segala keputusan dan tindakan yang diambil oleh Majlis ini tidak mengutamakan kepentingan ekonomi semata-mata. Prinsip ‘check and balance’ yang diamalkan oleh perlanan sistem pemerintahan negara yang terdiri daripada tiga cabang utama iaitu eksekutif, legislative dan kehakiman boleh diguna pakai dalam hal ini.

Penguatkuasaan denda terhadap pihak yang melakukan pencemaran juga mempunyai kaitan dengan kepentingan ekonomi. Jumlah denda yang tinggi kepada pengilang bermakna ia akan menjejaskan aktiviti kilang tersebut. Keluaran mungkin akan dikurangkan atau harga barang keluaran kilang berkenaan akan dikurangkan. Ini menyebabkan pihak berkuasa berkecenderungan mengenakan denda yang sedikit bagi kesalahan yang besar. Misalnya, pada bulan Februari 1982, Hotel Holiday Inn telah didenda Cuma RM 300 kerana mencemarkan air laut di Batu Feringgi disebabkan pelepasan najis tak sempurna dan sisa-sisa air buangan. Pada tahun 1981 pula, sebuah kilang di Kedah telah didenda RM 500 kerana mencemar Sungai Tawar dan Sungai Kangar.

Jika dilihat daripada contoh-contoh ini, hukuman yang dikenakan adalah amat tidak berpatutan dengan peruntukkan yang ada. Hukuman bagi pelepasan buangan ke laut ialah denda tidak lebih RM 10000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Manakala hukuman bagi pencemaran perairan daratan ialah denda tidak lebih RM 10 000, penjara tak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan RM 1000 sehari bagi kesalahan yang diteruskan selepas mendapat notis daripada Ketua Pengarah untuk menghentikanya. Di sini, banyak faktor boleh dilihat iaitu kelemahan penguatkuasaan, unsur korupsi dan sebagainya yang menyebabkan masalah ini. Tetapi masalah ini juga tidak dapat lari daripada jangkaan bahawa pihak berkuasa lebih mengutamakan kepentingan ekonomi semata-mata dengan berlembut dengan pihak yang bersalah. Denda yang dikenakan ini hanyalah merupakan derma daripada pencemar yang sedikitpun tidak akan memberi sebarang pengajaran kepada mereka. Mereka akan terus melakukan pencemaran dan membayar denda yang kecil.

Selain itu, berlaku penindihan kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan Negeri dalam isu-isu dan hal berkaitan dengan alam sekitar. Peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri berkenaan sumber dan hal-hal alam sekitar adalah jelas. Perundangan subsidiari sama ada undang-undang jenayah dan sivil yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah mengikut garis panduan Perlembagaan masing-masing kerana ia merupakan undang-undang yang tertinggi. Kerajaan Persekutuan dalam usahanya untuk mewujudkan undang-undang yang seragam antara negeri telah meluluskan undang-undang berkaitan alam sekitar yang dapat digunakan di semua negeri. Langkah ini diterima di semua negeri di semenanjung namun keseragaman ini tidak dapat dicapai di Sabah dan Sarawak kerana kedua buah negeri ini mempunyai peruntukkan khas dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, tiada pindaaan yang boleh dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkait dengan hal ehwal kedua buah negeri seperti hal- hal perundangan negeri, bidang kuasa Mahkamah Tinggi, agama dan adat istiadat kedua buah negeri tanpa persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah atau Sarawak.

Selain itu, Jabatan Alam Sekitar yang merupakan agensi persekutuan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tiada kawalan menyeluruh berkaitan dengan sumber-sumber alam sekitar. Hal berkaitan dengan dengan tanah, hutan, sumber air , kawasan Kerajaan tempatan, perikanan and pertanian adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai Negeri , Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, konflik sering berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.

Di dalam kes pemuliharaan alam sekitar, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling ( Pindaan ) 1985 merupakan akta-akta yang digubal dan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan tetapi pengurusan sumber alam sekitar masih dalam kawalan Kerajaan Negeri. Kejayaan Akta-akta tersebut bergantung kepada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun kadang kala kerjasama ini susah dicapai jika berkait dengan kepentingan kedua-dua buah pihak seperti dalam kes pembalakan di Endau- Rompin.

Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) Hutan Simpan Endau-Rompin akan dijadikan Taman Negara. Taman Negara ini terdiri daripada kawasan seluas 500 000 ekar dan termasuk 90 000 ekar di Pahang dan 120 000 ekar di Johor. Pada tahun kedua Rancangan ini, Kerajaan Negeri Pahang telah menggunakan 30 000 ekar daripada kawasan tersebut untuk pembalakan. Sebalik pelbagai bantahan daripada badan bukan kerajaan dan orang awam, kerajaan Negeri menyatakan mereka amat memerlukan hasil daripada pembalakan tersebut. Walaupun mendapat pelbagai tentangan dan perhatian daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pahang bercadang mengeluarkan lebih banyak lesen pembalakan. Hal ini hanya dapat diselesaikan selepas pilihan raya pada tahun 1978 di mana Menteri Besar Pahang yang baru dilantik.

Kes Endau-Rompin merupakan contoh pertelingkahan kepentingan antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Masalah pertelingkahan kepentingan dan pertindihan kuasa akan tetap berlaku kerana masing-masing mempunyai hak untuk menguruskan sumber-sumber alam sekitar seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukkan tersebut bukanlah buruk atau membebankan kerana ia bertujuan mengimbangi kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di dalam sistem pemerintah negara yang berbentuk persekutuan. Namun ia tetap mempunyai kelemahannya seperti yang telah dinyatakan. Dengan membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ia dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi mewujudkan juga masalah baru seperti kuasa mutlak berada di tangan Kerajaan Persekutuan dan tiadanya imbangan kuasa dalam pemerintahan negara.

Namun, langkah terbaik dalam hal ini ialah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memberi kuasa sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan sumber dan hal-ehwal alam sekitar namun adalah penting memasukkan peruntukkan melantik badan yang bebas untuk mengawasi tindakan kerajaan dalam menguruskan alam sekitar. Hanya dengan cara ini masalah pertindihan kuasa dan pertelingkahan dapat diselesaikan di samping memastikan Kerajaan Persekutuan tidak bertindak sesuka hati dalam pengurusan alam sekitar negara dengan melantik badan pemerhati bebas untuk mengawasi mereka. Sesungguhnya, jika pihak kerajaan betul-betul mengutamakan alam sekitar mereka haruslah megetepikan kepentingan politik dan ekonomi dan melaksanakan pembangunan terancang ( substainable development) seperti yang diperuntukkan dalam rancangan Malaysia Ketiga hingga kini ( Rancangan Malaysia Ke- 9 ).

Tentang masalah melaksanakan undang-undang persekutuan di Sabah dan Sarawak kerana kedua buah negeri ini mempunyai keistimewaan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri kedua buah negeri perlu juga mengambil kira kebaikkan undang-undang tersebut terhadap pembangunan alam sekitar di negeri masing-masing. Tiada salahnya mengguna pakai undang-undang tersebut dengan menggubal undang-undang yang sama dengan undang-undang tersebut dan menguatkuasakannya di negeri masing-masing jika ia betul-betul merupakan pilihan terbaik disebabkan kekangan yang ada untuk menggunakan undang-undang persekutuan.

Tetapi masalah yang ada kini ialah kedua buah negeri terlalu mengikut telunjuk Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan sesuatu projek sambil mengabaikan kepentingan alam sekitar. Contohnya, Pembinaaan Empangan Bakun di Sarawak banyak menjejaskan ekosistem alam sekitar. Kerajaan negeri dalam hal ini perlu menggunakan kuasa mereka seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk tidak membenarkan projek ini pada awalnya jika mereka betul-betul mengutamakan kepentingan dan pengurusan alam sekitar.

MASALAH BIDANG KUASA DAN HIERARKI JABATAN ALAM SEKITAR (JAS)

Jabatan Alam Sekitar (JAS) ditubuhkan pada tahun 1975 untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan diketuai oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling yang mempunyai bidang kuasa tertentu dalam mentadbir pengurusan alam sekitar di bawah Akta tersebut. Jabatan ini merupakan salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ( kini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ).

Bidang kuasa JAS adalah terhad. Dalam hal-hal penentuan keputusan dan program, JAS tidak dan kurang berperanan. Ia cuma sebagai badan penasihat yang nasihatnya tidak semestinya akan diterima. Kementerian sendiri dalam usaha untuk memajukan penyelidikan sains misalnya penyelidikan dan kegunaan atom dari segi keputusan dan perancangannya tidak pun meminta dan mengambil kira pandangan JAS, sedangkan kedua-dua bahagian ini berada dalam Kementerian yang sama. Di sini jelas bahawa peranan JAS hanyalah kepada pelaksanaan peraturan alam sekitar yang tertentu sahaja, itu pun setelah berlakunya kerosakkan. Sekiranya dalam kementerian yang sama JAS tidak atau kurang mempunyai kuasa untuk menyertai proses membuat keputusan, maka apatah lagi dalam Kementerian lain atau jabatan-jabatan luar daripada kementerian ini.

Masyarakat cenderung menyalahkan Jabatan Alam sekitar apabila berlaku satu pencemaran yang serius kerana tidak mengambil langkah awal mencegahnya. Apakah daya Jabatan ini untuk melaksanakan langkah pencegahan awal jika tidak mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementeriannya sendiri. Jabatan boleh mengesyorkan mengambil tindakan awal untuk mencegah sesuatu pencemaran daripada berlaku namun jika Kementerian sendiri tidak menyokong tindakan mereka dan meluluskannya serta lebih mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata, cadangan itu hanya tinggal cadangan tanpa pelaksanaan. Masyarakat perlu sedar bahawa kakitangan JAS hanya makan gaji dengan kerajaan dan tidak mampu mengingkari arahan majikan sendiri. Oleh itu, JAS tidak sepatutnya disalahkan seratus peratus apabila berlaku pencemaran alam sekitar yang serius.

Contoh masalah yang mungkin timbul antara JAS dan Kementerian ialah pihak Kementerian membenarkan pembalakan di sesuatu kawasan dan JAS berpendapat pembalakan tersebut akan memberi kesan yang serius kepada alam sekitar. Jika Kementerian tetap dengan keputusannya JAS tidak mampu menghalang kerana Kementerian dan pihak kerajaan mempunyai autoriti dalam hal ini. Oleh itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Menterinya Datuk Seri Adenan Satem perlu peka terhadap perkara ini dan mengambil kira penglibatan dan pendapat JAS sebelum membuat sesuatu keputusan agar objektif pembangunan terancang dapat dicapai.

Selain itu, beberapa kelemahan lain wujud dalam JAS dalam melindungi dan meningkatkan mutu alam sekitar, misalnya tidak terdapat unit-unit penguatkuasa khas iaitu pegawai-pegawai dalam setiap unit ( unit pencemaran air, udara dan sebagainya) yang bertanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan peraturan. Yang ada cuma perbincangan perbincangan antara JAS dengan unit-unit tersebut sahaja. Untuk menyelesaikan masalah ini dan melancarkan penguatkuasaan, adalah wajar dilantik seorang pegawai bagi setiap unit penguatkuasaan agar dapat menyelia dan merancang setiap tindakan unit tersebut.

Pertindihan kuasa antara bidang kuasa pengurusan alam sekitar antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga merumitkan kerja JAS. Sebahagian besar sumber alam sekitar yang sepatutnya berada dalam pemantauan JAS adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri seperti tanah, air dan hutan. Oleh itu, mungkin timbul isu JAS tidak dibenarkan menjalankan tugas mereka oleh Kerajaan Negeri kerana tindakan mereka melibatkan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, terdapat sebuah kilang membuang bahan buangan ke dalam sungai dan JAS hendak mengambil tindakan terhadap mereka. Namun mereka memberikan surat daripada Kerajaan Negeri yang membenarkan perbuatan tersebut. Dalam hal ini, JAS akan berada dalam dilema sama ada mengambil tindakan atau tidak kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dalam keadaan ini, JAS perlu melaksanakan tugas mereka kerana mereka mempunyai hak di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika perkara ini dibawa ke mahkamah, mahkamah perlu memainkan peranan dalam menyelesaikannya.

Namun pertindihan kuasa ini juga mempunyai kebaikkan di mana kerajaan tempatan yang juga mempunyai kuasa dalam pengurusan alam sekitar boleh membantu JAS dalam penguatkuasaan. Kerjasama ini sudah tentunya membawa lebih banyak kebaikkan daripada bertelingkah tentang pertindihan kuasa yang ada. Selain itu, kerjasama juga boleh dibuat dengan agensi penguatkuasa yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah dan Jabatan Kesihatan.

MASALAH KAKITANGAN

Masalah utama yang dihadapi oleh Jabatan Alam Sekitar dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar adalah dari segi masalah kakitangan organisasi iaitu berkaitan dengan pengambilan kakitangan untuk mengisi jawatan kosong. Oleh sebab kakitangan yang ada tidak mencukupi untuk menjalankan segala aktiviti yang berkaitan dengan penguatkuasaan peraturan yang ditetapkan di bawah akta tersebut, maka jawatan kosong ini perlu diisi.

Pada peringkat awal pelaksanaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pejabat-pejabat JAS yang mentadbirkan Akta ini memang telah menduga bahawa masalah perjawatan akan wujud dan dijangka bahawa akta ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sebelum dapat dilaksana dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Pada tahun 1974 dan 1975, tugas-tugas untuk menyelengarakan penubuhan JAS sebagai agensi yang akan mentadbirkan akta ini dan masalah pentadbirannya terpaksa dikendalikan oleh hanya dua orang Pegawai Tadbir Diplomatik (P.T.D ) serta tanpa kakitangan pembantu yang tetap. Sehingga tahun 1975, kedudukan kepegawaian di Jabatan Alam Sekitar masih lagi serius dengan beberapa kekosongan jawatan berlaku pada peringkat yang lebih kanan. Daripada sejumlah 25 jawatan yang ada cuma 13 jawatan sahaja yang terisi.

Pegawai-pegawai teknikal hanya diperoleh pada peringkat rendah mulai dari bulan Mei 1975. Sungguhpun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam telah berusaha mencari calon yang berkelayakan untuk memenuhi jawatan-jawatan tersebut tetapi masih tidak dapat dipenuhi kerana ketiadaan calon yang sesuai dalam bidang yang berkaitan. Oleh yang demikian, program kerja yang menyeluruh tentang langkah-langkah kawalan dan kerja-kerja perancangan tidak dapat dijalankan secara sistematik dan sempurna sepertimana yang diharapkan.

Masalah kekurangan kakitangan ini sedikit sebanyak sudah pasti menjejaskan kejayaan pelaksanaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Contohnya dalam aktiviti kajian dasar untuk menentukan pencemaran air pada tahun 1980, hanya dua kajian dasar sahaja dapat dijalankan berbanding lapan kajian yang dicadangkan. Ini disebabkan oleh kekurangan kakitangan pada awal tahun berkenaan.

Berdasarkan statistik yang dikemukakan, ia adalah statistik pada 25- 30 tahun dulu. Jadi apakah keadaannya sekarang? Sehingga kini masalah kakitangan yang tidak mencukupi masih menjadi masalah bagi JAS dalam melaksanakan penguatkuasaan dan perancangan. Walaupun JAS mempunyai pejabat di setiap negeri, pegawai penguatkuasa masih belum mencukupi. Masalah ini mungkin berpunca daripada pembiayaan yang tidak mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan dan masalah ini juga berlaku pada agensi penguatkuasa yang lain.

Melihat kepada masalah ini yang masih belum selesai sejak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mula berkuatkuasa, ia menunjukkan kelemahan daripada pihak kerajaan dan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan alam sekitar. Keadaan ini juga jelas menunjukkan ketidaksungguhan pihak terbabit dalam melindungi alam sekitar dan melaksanakan pembangunan terancang seperti yang telah dinyatakan dalam pelan Rancangan Malaysia Ketiga hingga sekarang. Oleh itu, masalah ini perlu diselesaikan segera dengan mengambil sumber tenaga yang diperlukan untuk Jabatan Alam Sekitar dan jabatan penguatkuasa yang lain agar masalah ini tidak berlarutan dan undang-undang yang ada dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan di samping perancangan pembangunan alam sekitar yang lebih baik.

Namun janganlah mengambil mereka yang tidak berkelayakan atau tidak berminat dengan isu alam sekitar untuk memenuhkan jawatan yang kosong. Adalah lebih baik menanamkan dulu sikap yang betul kepada mereka yang dilantik agar mereka tidak menjalankan tugas dengan sambil lewa.

MASALAH KOS PENGURUSAN

Dalam Rancangan Malaysia Ketiga ( 1976-1980) , JAS telah mendapat peruntukan perbelanjaan pembangunan awam berjumlah RM 40 juta dan jumlahnya telah merosot kepada RM 36 juta dalam Rancangan Malaysia Keempat, walaupun keperluan penjagaan alam sekitar semakin mendesak. Jika dibandingkan jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan awam, peratusnya adalah terlalu kecil, tidak melebihi 2 peratus dalam kedua-dua rancangan tersebut. Walaupun begitu peruntukan kendalian JAS terus meningkat melebihi 10 kali ganda antara tahun 1976-1985, ini khususnya disebabkan oleh bilangan kakitangan JAS yang semakin meningkat.

Bagi buangan kotoran kumbahan domestik, JAS telah menetapkan buangan sebanyak 50 mg/1 BOD ke sungai yang tidak digunakan bagi pembekalan air dan 20 mg/1 bagi sungai yang digunakan bagi sumber pembekalan air. Kajian menunjukkan bahawa untuk mencapai matlamat antara 2-20 mg/1 ia memerlukan perbelanjaan pelaburan sebanyak RM 2.71 billion. Jumlah ini terlalu besar dan tentunya menyukarkan bagi pihak kerajaan membuat keputusan segera ke atasnya. Pungutan dan pelupusan sampah sarap pepejal dikatakan melibatkan kos purata pada tahun 1983 sebanyak RM 50 setiap tan. Kalau bagi Kuala Lumpur yang dianggarkan buangan pepejal sampah ialah 1000 tan sehari, maka ini bermakna sejumlah lebih daripada RM 18 juta akan terlibat bagi setiap tahun untuk kawasan Kuala Lumpur sahaja.

Dari segi pihak pengilang (pencemar), kesukaran juga timbul dalam melaksanakan kawalan pencemaran. Kos yang besar akan terpaksa ditanggung bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi kilang getah dan kelapa sawit sahaja, sehingga tahun 1983, sejumlah RM 200 juta terpaksa dibelanjakan bagi tujuan ini.

Menurut data terkini kerajaan memperuntukkan RM194 juta untuk hal-hal berkaitan alam sekitar dalam belanjawan 2005. Jumlah ini cukup besar dibandingkan dengan 15-20 tahun lalu tetapi persoalan yang timbul ialah adakah jumlah ini mencukupi? Jumlah ini menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan dalam pembangunan alam sekitar negara. Namun jika pencemaran terus meningkat tanpa pengawalan, jumlah ini sudah tentunya tidak mencukupi untuk menanggung semua gaji pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam hal-hal alam sekitar, pembersihan semula kawasan pencemaran, program pemeliharaan dan pemuliharaan dan sebagainya.

Salah satu langkah untuk mengurangkan kos ialah memberi kontrak pada pihak swasta menjalankan proses pembersihan atau menswastakan sesebuah agensi atau jabatan yang cuma bertanggungan dalam hal-hal pembersihan pencemaran. Langkah ini sudah pasti mengurangkan beban kerajaan namun masalah akan timbul bila orang ramai terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati alam sekitar yang bersih. Dalam hal ini sudah pastilah pihak kerajaan akan dipersalahkan pula.

Kesimpulannya, berapa banyak pun peruntukkan yang diberikan kepada kerajaan untuk pembangunan alam sekitar negara, ia tetap tidak mencukupi jika pencemaran terus meningkat dan masyarakat tidak turut memainkan peranan memelihara alam sekitar. Oleh itu, langkah terbaik ialah orang ramai turut memainkan peranan agar pencemaran dapat dikawal dan seterusnya mengurangkan beban kerajaan. Langkah ini akan turut melancarkan pembangunan alam sekitar negara agar orang ramai dapat menikmati alam sekitar yang bersih.

MASALAH KESEDARAN DAN PENERIMAAN UMUM

Sungguhpun kesedaran rakyat tentang kepentingan alam sekitar telah meningkat, tetapi kesedaran ini masih belum mencapai peringkat yang realistik. Masih ramai yang melihat pengurusan alam sekitar semata-mata untuk mengadakan udara yang nyaman dan air yang bersih tanpa melihat kaitannya dengan usaha pembangunan.

Berdasarkan keadaan ini terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab terus melakukan kegiatan yang mencemarkan alam sekitar dan melanggar peraturan alam sekitar. Masih ramai pemandu kenderaan motor yang menggunakan asap-asap kenderaan melebihi paras yang dibenarkan iaitu tak lebih 50 UAH yang ditetapkan di bawah kaedah-kaedah Kereta Motor ( kawalan Pelepasan Asap dan Gas) 1977.

Majoriti rakyat Malaysia masih tiada kesedaran yang menyeluruh tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Pelbagai pihak hanya melenting dan mengutarakan pendapat mereka apabila suatu isu alam sekitar itu menjadi sensasi atau mendapat liputan meluas media massa. Namun tiada tindakan susulan yang berkesan yang diambil untuk menyelesaikannya. Sebagai contoh, isu bahan toksik yang diletakkan di dalam sebuah kilang terbiar di Johor di mana bahan toksik itu datang dari Taiwan . Pelbagai pihak mengutarakan kebimbangan mereka dan kesan bahan toksik itu terhadap penduduk setempat, namun masih tiada tindakan berkesan untuk menghapuskan bahan toksik atau memindahkannya ke tempat lain. Mereka yang terbabit memberikan pelbagai alasan seperti pihak Taiwan enggan menerima balik bahan itu, masalah pengurusan dan undang-undang dan sebagainya. Seharusnya tindakan drastik harus diambil dalam hal ini seperti menlupuskan bahan toksik ini dengan segera dengan cara yang dipratikkan dan bukan membiarkannya begitu sehingga suatu hari nanti memudaratkan penduduk.

Rakyat perlu sedar bahawa mereka turut bertanggungjawab dalam pemeliharan alam sekitar dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata. Kesedaran perlu ada dan bukannya hanya mengambil mudah isu-isu alam sekitar atau hanya pandai bercakap tanpa apa-apa tindakan. Cadangan dan pelan tanpa apa-apa tindakan berkesan umpama mencurahkan air ke atas daun keladi.

KELEMAHAN SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Pendidkan dari peringkat awal memainkan peranan penting untuk menanamkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat. Namun nilai-nilai ini jarang dapat dilihat dalam masyarakat kini dan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar semakin meningkat. Keadaan ini membuktikan kecacatan dalam sistem pendidkan negara yang gagal menanamkan sifat-sifat sivik dan terpuji serta tentang hal-hal alam sekitar kepada masyarakat dan golongan pelajar.

Di sekolah Rendah dan Menengah, pendidikan alam sekitar tidak diajar sebagai matapelajaran yang berasingan dan dimuatkan dalam matapelajaran lain seperti sains dan Kajian tempatan. Namun untuk keperluan peperiksaan, sering kali matapelajaran seperti Kajian Tempatan digunakan untuk mengajar subjek lain. Oleh itu, pendidkan alam sekitar diabaikan untuk memenuhi keperluan alam sekitar dengan menggunakan masa itu untuk pelajaran lain. Pada peringkat institusi pengajian tinggi pula hanya pelajar yang mengambil ijazah atau subjek berkaitan dengan alam sekitar sahaja mengetahui tentang isu-isu dan cara untuk menguruskan alam sekitar. Manakala pelajar lain hanya berpandangan seperti masyarakat biasa iaitu alam sekitar hanya berkait dengan kebersihan, flora dan fauna dan persekitaran tanpa mengetahui kepentingan pengurusan alam sekitar yang betul.

Namun kini terdapat harapan dalam pendidkan alam sekitar di mana kerajaan mengutamakan pendidikan alam sekitar bermula dari Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) dan masyarakat turut melibatkan diri dalam pendidikan yang bersifat tidak formal. Contohnya promosi kesedaran alam sekitar, pertandingan bertemakan alam sekitar dan penyiaran rancangan berbentuk alam sekitar di dalam media elektronik dan media massa.

Adalah diharapkan usaha-usaha yang ada berterusan agar kesilapan masa lalu tidak diulangi dan generasi muda dan baru memperoleh ilmu yang menyeluruh tentang pendidikan alam sekitar serta dapat mempraktikkannya kelak untuk berdepan dengan isu-isu alam sekitar di masa hadapan. Pendidikan adalah medium yang berkesan untuk pembangunan kelak.

KELEMAHAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG

Ketiadaan pegawai penguatkuasa yang mencukupi dan kesusahan dalam menyediakan laporan yang lengkap sebelum sesuatu tindakan dapat diambil adalah kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dan menyebabkan kepercayaan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan semakin menurun. Masalah lain ialah pemantauan sering dilakukan dalam waktu bekerja walhal banyak pencemaran dilakukan pada waktu malam seperti pelepasan asap kilang dan sisa buangan ke dalam sungai.

Di peringkat Kerajaan Tempatan dan Pejabat Daerah keadaannya lebih serius kerana bilangan anggota yang terhad, kebanyakkan daripada mereka tidak dilatih berkenaan cara menguatkuasakan undang-undang alam sekitar. Malah ada di antara mereka yang tidak mengetahui pun adanya peruntukkan tentang penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di bawah bidang kuasa mereka. Di Pejabat Daerah Hulu Langat, tiada seorang pun pegawai yang dilatih dalam hal-hal penguatkuasaan alam sekitar dan mereka juga tidak tahu adanya peruntukkan berkenaan hal berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.

Selain itu, masalah-masalah lain yang dihadapi ialah kekangan politik dan ekonomi, pertindihan kuasa antara kerajaan Negeri dan Persekutuan, tiadanya kos yang mencukupi dan tiada kerjasama daripada orang ramai. Selain itu, masalah pecah amanah atau rasuah juga mungkin timbul yang menyumbang kepada masalah kelemahan penguatkuasaan namun tiada data atau kes mengenainya yang diketahui umum.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kelemahan penguatkuasaan alam sekitar. Namun masalah ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk para pegawai penguatkuasa untuk tidak menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka sepatutnya berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas agar usaha mereka dihargai dan mendapat pujian ramai. Melalui cara ini sahaja, masalah-masalah lain yang dihadapi mereka akan disedari pihak terbabit dan seterusnya menyelesaikan masalah tersebut satu persatu. Kelemahan dan tiada kesungguhan di pihak pegawai penguatkuasa sendiri akan membantutkan lagi penguatkuasaan dan menambah masalah yang sudah banyak berkenaan penguatkuasaan .

KESIMPULAN

Negara sudah mempunyai banyak peruntukkan undang-undang berkenaan alam sekitar yang jika dikuatkuasakan sepenuhnya mampu menangani masalah-masalah alam sekitar yang timbul kini. Namun penguatkuasaan sepenuhnya masih tidak dapat dijalankan kerana pelbagai kelemahan dan kekangan yang ada. Dalam hal ini, kerajaan perlu mengambil kira faktor ini dan bukannya menggubal dan meluluskan undang-undang alam sekitar yang baru.

Selain itu, pihak swasta dan orang ramai juga perlu memainkan lebih peranan dalam meringankan beban kerajaan dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata menangani isu-isu alam sekitar yang timbul. Penyelesaian masalah alam sekitar secara bukan perundangan seperti melalui pendidikan formal dan tidak formal perlu dipergiatkan lagi dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat agar pembangunan terancang dapat dicapai dengan berkesan.

Pelan pembangunan negara dan pengekalan alam sekitar negara sebenarnya menuju ke arah yang betul seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ketiga hingga Rancangan Malaysia Kesembilan. Namun masih banyak lagi tindakan yang perlu dilakukan untuk mencapai tahap yang diingini disebabkan pelbagai kelemahan dan kekangan yang timbul. Kuncinya adalah kerjasama daripada semua pihak dan bukan kerajaan semata-mata. Mengejar kekayaan materialistik sekarang merupakan trend kehidupan orang ramai tanpa mengambil kira pembangunan alam sekitar, tetapi apakah nilai harta benda itu kelak jika kita terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati alam sekitar itu sendiri yang sepatutnya percuma sahaja.

Adalah diharapkan mereka yang berpendidikan tinggi juga sedar akan kepentingan alam sekitar dan menjadi penunjuk arah ke arah pengekalan alam sekitar dan pembangunan terancang untuk semua.

 

Daripada :
EYU GHIM SIANG
TIMBALAN PENDAKWA RAYA L41
JABATAN PEGUAM NEGARA SABAH

 

Visitor Statistics

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday3304
mod_vvisit_counterYesterday19686
mod_vvisit_counterThis week144104
mod_vvisit_counterLast week239340
mod_vvisit_counterThis month641877
mod_vvisit_counterLast month1010982
mod_vvisit_counterAll days32961643

Last Updated

Thursday, 18 December 2014, 17:04 PM

Polls

Please Rate Our Portal
 

Web Mobile

 Portal AGC
Scan QR code for
Mobile access

Other Links

MyGovernment SPKP EPSA
PEMUDAH JKJR Government Transformation Programme
IIM BPH MyIdeas
MSC SPR

MyEG

DBP