Logo
FAQ-BI   contact-us   MAKLUMBALAS-BI   sitemap   Menu

Photo Gallery

Hari Pertama YBhg. Tan Sri Idrus Bin Harun Lapur Diri Sebagai Peguam Negara Malaysia Pada 9 Mac 2020

"Bagai sireh pulang ke gagang". Begitulah perumpamaan diberikan kepada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun dilantik sebagai Peguam Negara Malaysia yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa bermula hari ini, 6 Mac 2020 bagi menggantikan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas yang melepaskan jawatan itu pada 28 Februari lalu. Selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempersetujui pelantikan YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa bermula pada tarikh tersebut. Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas untuk memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 28 Februari lalu. Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan YBhg Tan Sri Tommy Thomas. Seluruh warga kerja Jabatan Peguam Negara (AGC) mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Tommy atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan Peguam Negara, di AGC bermula pada 6 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020. Ketibaan YBhg. Tan Sri Idrus Harun di perkarangan AGC telah disambut oleh YM Datuk Engku Nor Faizah binti Engku Atek, Peguam Cara Negara, YBhg. Datuk Siti Zainab binti Omar, Peguam Cara Negara ll, Ketua-Ketua Bahagian serta warga kerja Pejabat Peguam Negara. YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun, 65, yang juga abang kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun adalah kelahiran Sanglang, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ayer Hitam dan Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Malaya (UM), sebelum memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1980. Berpengalaman luas selama 40 tahun yang dimiliki beliau dalam badan kehakiman dan perundangan negara. Dalam karier beliau, YBhg. Tan Sri Idrus pernah menjadi Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu, Timbalan Pendakwa raya di AGC, Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya. Jawatan terakhir beliau di AGC ialah Peguam Cara Negara sehingga 9 September 2014. Pada 2014 hingga 2018, beliau turut dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada 28 November 2018. Tahniah dan selamat maju jaya kepada YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun.