Logo
FB   Twitter   Blog   RSS   Tag Cloud   QR Code   Open Data   Menu

Syariah Community

  • Bolehkah Saya Menyertai Laman Forum Komuniti Syariah?
    Sebenarnya Komuniti Syariah hanya dianggotai oleh ahli-ahli yang dilantik dengan persetujuan Y.Bhg. Tan Sri Peguam Negara. Walaubagaimana pun, mereka yang berminat untuk menyertai forum Komuniti Syariah boleh menghantar nama dan email kepada moderator forum untuk dipertimbangkan.
  • Bilakah Komuniti Syariah dilancarkan?
    Komuniti Syariah telah dilancarkan dengan rasminya pada 5 Disember 2005 di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Y.Bhg. Tan Sri Peguam Negara telah sudi untuk merasmikan pelancaran tersebut. Majlis telah dihadiri oleh penggiat-penggiat undang-undang Syariah, para hakim dan pengamal undang-undang termasuklah Ketua-ketua Bahagian dan pegawai-pegawai dari Jabatan Peguam Negara.
  • Apakah matlamat Komuniti Syariah yang paling utama?
    Komuniti Syariah berhasrat untuk memperbaiki sistem perundangan Syariah yang sedia ada agar ia dapat berdiri sama tinggi dengan sistem undang-undang sivil. Sememangnya terdapat banyak kelemahan yang perlu diatasi dari semasa ke semasa. Di samping itu, Komuniti Syariah juga mempunyai perancangan jangka panjang iaitu mengharmonisasikan undang-undang Syariah dan sivil dalam usaha untuk menyelesaikan sebarang konflik yang wujud di antara kedua-dua undang-undang tersebut.
  • Siapakah yang menganggotai Komuniti Syariah?
    Antara agensi kerajaan yang menjadi anggota Komuniti Syariah ialah JAKIM, JKSM, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JWZH) dan Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), IPTA seperti UM, UKM dan UIAM, sektor perbankan seperti BNM, Bank Muamalat Malaysia, Bank Islam Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti. Badan bukan kerajaan yang turut terlibat ialah seperti ABIM, JIM, PERKIM, PGSM dan PUM. Komuniti Syariah juga melibatkan tokoh-tokoh cendekiawan Syariah.
  • Apakah sumbangan yang telah diberi oleh Komuniti Syariah sepanjang penubuhannya?
    Setakat ini, Komuniti Syariah telah memberi banyak sumbangan idea dalam beberapa siri perbincangan. Antaranya, membantu Y.Bhg. Tan Sri Peguam Negara dalam mengkaji masalah-masalah dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, membincangkan masalah berkaitan Seksyen 51 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1967 (Akta 164), memberi input berkenaan konvensyen dan Triti antarabangsa seperti CEDAW (Convention On Discrimination of Women), CRCI (Convention On Rights Of Child In Islam) dan lain-lain. Beberapa projek pengkajian sedang dalam proses perangkaan termasuklah penubuhan beberapa kumpulan kerja yang terdiri daripada anggota Komuniti Syariah sendiri.
  • Apakah fungsi utama Komuniti Syariah?
    Komuniti Syariah akan berfungsi sebagai 'think tank' untuk membantu pihak Jabatan Peguam Negara khususnya Seksyen Syariah dalam menyediakan apa-apa nasihat dan tugasan yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri berkenaan perundangan Syariah. Selain itu ahli Komuniti Syariah juga turut sama menyumbangkan hasil kajian dan penyelidikan mereka untuk dimanfaatkan oleh pegawai-pegawai di Seksyen Syariah di samping menambah pengetahuan yang sedia ada.
  • Apakah yang dimaksudkan dengan Komuniti Syariah?
    Komuniti Syariah adalah satu jaringan rangkaian pintar (smart networking) yang diwujudkan melalui kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, agensi kerajaan dan bukan kerajaan, universiti serta tokoh-tokoh akademik yang terlibat khusus dalam bidang berkaitan perundangan Syariah.