-
Datuk Idrus bin Harun telah dilantik sebagai Peguam Cara Negara keenam belas pada 27 April 2006.
-
Datuk Idrus memiliki Ijazah LLB(Hons) dari Universiti Malaya. Beliau telah dilahirkan pada 2 Februari 1955 di Kg. Sanglang, Alor Setar Kedah.
-
Datuk Idrus telah menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada 3 April 1980 sebagai pegawai undang-undang dan telah ditugaskan sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara.
-
Pada 15 September 1983, beliau telah dilantik sebagai Penolong Kanan Pendaftar di Bahagian Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan pada 1 Ogos 1984 beliau telah ditukarkan ke Kota Kinabalu, Sabah sebagai Presiden/Hakim Mahkamah Sesyen.
-
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Kastam dan Eksais pada 1 Jun 1990. Di antara 1992 sehingga 1993 Datuk Idrus menyandang jawatan Ketua Unit Pendakwaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara.
-
Pada 1 Ogos 1993, beliau dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu. Dalam bulan November 1995 beliau telah dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Suruhanjaya Pilihan Raya, dan dalam tahun 1996, beliau dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah.
-
Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa dari tahun 1997 sehingga 1998.
-
Pada 1 Oktober 1998 Datuk Idrus telah dilantik sebagai Pendaftar Syarikat. Beliau kemudiannya menyandang jawatan sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa mulai 15 Februari 2002 sehingga 31 Ogos 2004.
-
Selepas itu beliau telah dilantik sebagai Penggubal Undang-Undang Parlimen dari 1 September 2004 sehinggalah pelantikan beliau sebagai Peguam Cara Negara.